WARGA PENTADBIR & PENDIDIK SK PULAU MANSOK 2010

SK PULAU MANSOK ~ Berilmu, Berakhlak, Berbudi

Selamat Datang Ke Blog SK Pulau Mansok!





Sekolah Kebangsaan Pulau Mansok terletak dalam daerah Jerantut, Pahang Darul Makmur. Terletak kira-kira 8 km dari bandar Jerantut dan juga pertengahan jalan ke taman Negara di Kuala Tahan. Sekolah ini terletak di pinggir Sungai Pahang yang penuh sejarah dan terkenal dengan ikan-ikan yang 'istimewa' kepada pemancing dan penggemar ikan sungai. SK Pulau Mansok merupakan sekolah kecil dengan hanya 17 guru dan 3 kakitangan termasuk Pembantu Tabir, Pembantu Pengurusan Murid, Fasilitator Schoolnet serta 130 orang murid. Biarpun 'kecil-kecil cili padi', sekolah ini telah terbukti baik dalam bidang kurikulum maupun kokurikulum. Formula kejayaan ini sangat mudah, iaitu kepimpinan yang berkesan, teratur dan bervisi, kerjasama semua staf, guru-guru yang berwibawa dan faktor hubungan erat dan mesra antara staf.













Rabu, 27 Oktober 2010

Hari Keluarga SKPM 2010

Pada 23Okt hingga 24Okt yang lalu, satu majlis Hari Keluarga Kelab Guru dan Kakitangan SK Pulau Mansok bagi tahun 2010 telah diadakan di Tiara Beach Resort, Port Dickson. Pada 23Okt semua guru, kakitangan dan keluarga telah berkumpul di Masjid Baru Daerah Jerantut sebelum memulakan konvoi ke Port Dickson.Rombongan SKPM tiba di sana pada jam 2.30 petang. Aktiviti pada petang adalah mandi di kolam bersama keluarga masing-masing.Pada sebelah malam, majlis bermula dengan makan malam di cafe yang telah disediakan. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Pn. Saripah.Selepas itu, acara diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi Kelab Guru iaitu Pn. Taibah, Guru Besar Tn .Hj Muner dan seterusnya acara pemberian hadiah daripada Kelab Guru & Kakitangan, sumbangan DUN Tahan dan pertukaran hadiah di antara staf. Majlis berakhir pada jam 10.30 malam. Pelbagai acara lain turut dapat disaksikan di TBR pada malam tersebut seperti pertandingan nyanyian, pertunjukan akrobatik dan sebagainya.Tahniah kepada Kelab Guru dan Kakitangan kerana telah berjaya menganjurkan majlis di luar Daerah Jerantut.

Sukan Tahunan SKPM 2010

Pada 17hb Oktober yang lalu, telah diadakan satu temasya Sukan Tahunan SK Pulau Mansok 2010. Latihan sukan telah bermula seminggu sebelum sukan tahunan bermula iaitu pada 11 Okt hingga 13 Okt 2010. Terdapat 3 buah rumah sukan yang bertanding iaitu Rumah Hijau, Biru dan Merah. Juara keseluruhan telah dimenangi oleh pasukan Rumah Hijau. Pelbagai acara padang dan sukaneka telah diadakan termasuklah lumba lari, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi, bawa 3 biji bola, bawa bola ping-pong dalam sudu, isi air dalam botol dan sebagainya. Acara bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar, Tn.Hj.Muner bin Hamid.Semua pelajar pulang dengan membawa hadiah masing-masing. Semoga acara sukan tahunan ini dapat memberikan pengalaman kepada semua pelajar termasuklah anak-anak prasekolah yang turut mengambil bahagian.

Selasa, 19 Oktober 2010

Perkhemahan Pasukan Unit Beruniform SKPM/2010

Bermula pada 15hb Okt hingga 16hb Okt 2010 yang lalu, telah diadakan Perkhemahan Unit Beruniform SKPM/2010. Perkhemahan ini merupakan acara tahunan bagi Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah dan Pandu Puteri. Kem Komandan pada tahun ini ialah GPK Ko-Kurikulum iaitu En. Madzha b. Abd Rahman. Pelajar yang terlibat adalah pelajar Tahap 2 sahaja. Aturcara bermula dengan pendaftaran para peserta pada jam 3.30 petang di Dewan Sri Gemilang. Seterusnya para pelajar mendirikan khemah dan gajet di kawasan tapak perkhemahan bersebelahan padang sekolah. Aktiviti malam bersambung dengan Ice Breaking yang dipimpin oleh Pn. Saripah bt Talib. Pada 16hb Okt, acara bersambung dengan pemeriksaan pagi, stesen base, pertandingan memasak, latihan persembahan, acara padang ( akhir ) dan malam kebudayaan.

Rabu, 13 Oktober 2010

Latihan Kebakaran & Ceramah Keselamatan oleh Balai Bomba Jerantut

Pada 13hb Okt yang lalu, Unit HEM SK Pulau Mansok telah membuat satu latihan kebakaran untuk semua pelajar. Pelajar-pelajar telah berkumpul di hadapan bangunan Prasekolah bagi mendengar penerangan daripada GPK HEM iaitu Pn. Rozita. Loceng kecemasan dibunyikan pada jam 11.00 pagi. Pelajar-pelajar pun turun mengikut tangga yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Seterusnya, sebagai kesinambungan kepada aktiviti tersebut, pada 14hb Okt pula, unit HEM telah menjemput pegawai bomba daripada Unit Bomba dan Penyelamat, Jerantut. Ceramah keselamatan telah disampaikan oleh Ketua Unit Balai Bomba iaitu En. Mohd Arif bin Yusof. Aktiviti diteruskan dengan demonstrasi menggunakan alat pemadam api oleh 2 orang staf Balai Bomba yang turut hadir bersama. Para pelajar, guru dan kakitangan turut berpeluang menggunakan alat pemadam api tersebut. Majlis diakhiri dengan acara penyampaian sijil dan cenderahati kepada semua pegawai yang hadir. Terima kasih diucapkan.:)

Latihan Sukan Sempena Sukan Tahunan 2010

Bermula Isnin yang lepas ( 11hb Okt 2010 ) hingga Khamis, telah diadakan latihan sukan bagi persediaan menghadapi Sukan Tahunan 2010 yang akan diadakan Ahad ini, di padang sekolah. Pelbagai acara telah dirancang untuk diadakan pada hari sukan nanti termasuklah acara padang seperti lumba lari, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Semua pelajar terlibat termasuklah prasekolah. Antara acara sukaneka yang akan diadakan ialah bawa bola ping pong dalam sudu, bawa bola guna gelung rotan, susun tin dan lain-lain lagi.